Peraturan ialah satu ketetapan undang-undang yang perlu dipatuhi bertujuan untuk mewujudkan keharmonian, ketenteraman dan kelancaran perjalanan aktiviti-aktiviti sesebuah masyarakat, organisasi dan sebagainya. Peraturan bilik darjah pula ialah satu kenyataan yang menyatakan tingkah laku yang boleh diterima di dalam bilik darjah. Tujuan peraturan bilik darjah diwujudkan adalah untuk membentuk satu persekitaran yang dapat menerapkan nilai-nilai moral dalam diri murid. Selain itu, ianya bertujuan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan P&P yang dirancang. Apabila terdapat gangguan yang tidak diingini berlaku ianya akan menyebabkan P&P yang dirancang tidak dapat dijalankan dengan teratur dan secara tidak langsung ianya juga membantutkan usaha pembentukan nilai-nilai murni. Usaha pembentukan nilai murni ini adalah penting bagi para pelajar untuk menhadapi situasi yang sebenar dalam alam kehidupan sebenar.

 Peraturan bilik darjah diwujudkan oleh guru selepas menilai perkara-perkara berikut:

  1. Penggunaan ayat yang difahami oleh murid
  2. Peraturan yang dibuat dipersetujui bersama oleh murid agar mereka patuh pada peraturan tersebut.
  3. Menghadkan bilangan peraturan agar murid tidak berasa tertekan berada dalam bilik darjah.
  4. Peraturan yang menyeluruh dan adil serta membantu proses P&P yang dijalankan
  5. Selaras dengan peraturan umum sekolah.

Contoh peraturan bilik darjah;

  • Menghormati guru dan rakan
  • Menghormati harta benda kelas dan orang lain
  • Menjaga kebersihan kelas
  • Menjaga kekemasan diri
  • Tidak membuat bising semasa ketiadaan guru
  • Menjalankan tugas yang diberikan

Dalam melaksanakan peraturan yang ditetapkan oleh guru dengan persetujuan murid, guru perlu memastikan kelangsungan peraturan tersebut dikuatkuasakan dengan mengambil langkah-langkah berikut:

  • Guru mempamerkan peraturan tersebut di sudut kelas agar murid sentiasa mengingati peraturan  tersebut.
  • Guru sentiasa mengingatkan murid tentang peraturan tersebut setiap kali masuk ke kelas. Guru boleh menyampaikannya secara santai agar murid tidak bosan mendengar perkara yang sama.
  • Guru memikirkan tindakan yang akan dikenakan sekiranya peraturan tersebut dilanggar oleh mana-mana ahli kelas.

Kesimpulannya, peraturan bilik darjah merupakan satu langkah yang perlu dilaksanakan oleh guru dalam usaha membentuk suasana bilik darjah yang harmoni, tenteram dan selesa. Peraturan bilik darjah juga secara tidak langsung akan menghasilkan satu rutin kelas yang diingini oleh guru. Pengurusan peraturan bilik darjah yang baik akan memudahkan guru mencapai objektif P&P yang telah ditetapkan. 








Leave a Reply.