Picture
Bilik darjah merupakan tempat dimana aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlaku sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. 

Antara watak utama yang menjayakan kelangsungan perjalanan sesi P&P dalam bilik darjah ialah guru dan murid. Namun, berjaya atau tidak objektif P&P yang hendak dicapai adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor luaran seperti pengurusan bilik darjah.

Richards (1990), mentafsirkan pengurusan bilik darjah sebagai organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid semasa pembelajaran berlangsung supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Menurut Alberto & Troutman (1986), pengurusan bilik darjah didefinisikan sebagai kemahiran guru menguruskan masa, ruang, sumber pembelajaran, peranan dan tingkah laku murid dalam menyediakan sebuah iklim yang sesuai untuk pembelajaran.

Dalam buku Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku hasil tulisan Haliza Hamzah dan Joy Nesamular Samuel, mereka mengatakan bahawa faktor utama yang dapat menghasilkan sebuah bilik darjah yang berkesan ialah perancangan yang rapi. Guru perlu bijak mengelola dan mengawal pelaksanaan perancangan serta membuat refleksi kendiri dalam menentukan kelemahan dan kekuatan P&P yang dijalankan. 

Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah adalah suatu proses yang akan memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan P&P. Pengurusan bilik darjah yang berkesan akan membantu mencapai matlamat pelbagai objektif P&P yang hendak dicapai.










Leave a Reply.